Pages

Wednesday, August 19, 2015

Mempertahankan ilmu warisan keluarga

Mempertahankan ilmu warisan keluarga
Aug 19th 2015, 18:21

RENCANA UTAMA

Mempertahankan ilmu warisan keluarga

Mempertahankan ilmu warisan keluarga


TATKALA hujan mula berhenti dan matahari menerjah sinarnya, seorang wanita warga emas sudah bersiap sedia mencapai bakul kosong bersama sebilah parang dan sebatang cangkul untuk menjalani rutin hariannya.

Tidak seperti warga desa lain, wanita ini membawa misi sendiri untuk membantu pelanggannya mendapatkan ubatan tradisional yang hidup di dalam hutan.

Merupakan salah seorang pencari akar kayu veteran di kampung, Lijah Osman, 80, tidak pernah mengenal erti lelah.

"Mencari akar kayu sudah sebati dalam kehidupan saya. Ia menjadi aktiviti harian.

"Walaupun agak sukar, ia tidak menjadi penghalang untuk saya meneruskan kemahiran yang diwarisi turun-temurun ini. Malah, saya berasa gembira setiap kali dapat membantu mereka yang memerlukan," katanya ketika ditemu bual di Kampung Rembang Panas, Juasseh, Negeri Sembilan.

Sejak mempelajari kaedah untuk mencari akar kayu, wanita yang mesra disapa Wan Lijah itu mempunyai ramai pelanggan tetap.

Merupakan khazanah alam semula jadi, akar kayu telah menjadi sebahagian daripada dunia perubatan tradisional sejak zaman berzaman dan dikatakan menjadi penawar kepada pelbagai jenis penyakit.

Berbeza dengan perubatan moden, akar kayu kebiasaannya disediakan dalam bentuk air rebusan dan ia boleh diminum pada bila-bila masa.

Seikat akar kayu boleh direbus berulang kali sehingga air rebusan bertukar menjadi jernih menandakan ia perlu ditukar baharu.

Air akar kayu turut dijadikan sebagai minuman tambahan bagi tujuan kesihatan dan penggalak tenaga untuk melakukan pekerjaan.

Mempunyai rasa sedikit pahit dengan aroma tersendiri, air akar kayu sesuai untuk diminum oleh setiap peringkat umur tidak kira lelaki, perempuan, tua atau muda. Ini kerana, ia dikatakan sesuai dengan tubuh badan manusia.

Khasiat

Sepanjang Lijah mencari akar kayu, dia sering mendapat tempahan daripada pengguna yang menghidap penyakit batu karang, kencing berdarah, sakit-sakit badan, darah tinggi, masalah angin dalam badan, sakit puan (keputihan dan gangguan kitaran haid), minuman kesihatan selepas bersalin serta kesukaran untuk mengandung.

Walaupun melewati usia emas, Lijah masih mampu untuk ke kawasan hutan sekitar tiga hingga lima kilometer dari kampungnya seorang diri untuk mencari akar kayu.

Pada usia 20-an, Lijah sudah mula mengikut datuknya ke hutan untuk mencari akar kayu. Sejak itu, sedikit demi sedikit wanita tersebut menimba ilmu untuk mengenal setiap jenis akar kayu yang terdapat di dalam hutan serta memahami fungsinya.

Tiada sebarang sijil atau segulung ijazah dimiliki Lijah, namun dia mampu mengenali pelbagai jenis tumbuhan yang dikatakan mujarab untuk dijadikan ubat.

Menurutnya, dalam mempelajari ilmu mencari akar kayu, dia telah dididik bagi memahami bahawa akar kayu mempunyai 199 jenis untuk 199 penyakit di dalam dunia.

Jenis akar kayu yang sering dicari oleh Lijah ialah tongkat ali, kacip fatimah, ubi jaga, tongkat haji samad, sekecut, akar serapat, akar teja lewang, akar mempelas, akar mengkunyit, akar mempelas, buah melada pahit, ubi gadung, kelentit kering, akar puteri, raja sarsi dan akar mata pelanduk.

"Saya mengenali jenis akar kayu melalui kaedah pemerhatian.


"Mempelajari ilmu akar kayu tidaklah sukar tetapi ia memerlukan kita masuk ke hutan. Ia merupakan cabaran utama khususnya bagi wanita," ujarnya.

Ketabahan Lijah dalam mempertahankan warisan ilmu itu telah membawa akar-akar kayunya merentasi sempadan negeri.

Walaupun tiada jenama khusus, akar kayunya mendapat tempahan daripada pengguna sekitar Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak malah di Singapura serta Brunei.

Lijah hanya mengenakan caj sebanyak RM5 untuk seikat akar kayu bagi setiap penyakit.

Jelasnya, walaupun pada pandangan umum tugas mencari akar kayu itu sukar tetapi dia tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk mengenakan harga yang tinggi kepada pelanggan mahupun pengedar.

Baginya, akar kayu merupakan ikhtiar untuk dijadikan penawar kepada penyakit. Dia hanya membantu untuk mencari dan mengumpulkannya kerana kuasa menyembuhkan penyakit hanyalah Allah.

Dalam pada itu, seorang lagi pencari akar kayu juga dari Kampung Rembang Panas, Abdul Jalil Abdul Ghani, 61, turut mempelajari ilmu mencari akar kayu secara turun-temurun daripada keluarga mertuanya sejak berumur 30 tahun.

Pada mulanya, dia hanya membantu neneknya menarik akar kayu, namun setelah beberapa kali, Abdul Jalil mula tertarik untuk mempelajari ilmu mencari akar kayu.

Menurutnya, mencari akar kayu memerlukan kesabaran yang tinggi kerana pencari perlu menempuh hutan rimba dan meneliti setiap tumbuhan yang diperlukan.

Waktu sesuai

"Pencari akar kayu perlu berhati-hati melihat setiap pokok yang diperlukan. Ini kerana, terdapat pokok yang kelihatan sama tetapi kegunaan berbeza.

"Masa yang sesuai untuk mencari akar kayu ialah selepas hujan kerana ketika itu tanah berkeadaan basah dan lembut, sekali gus memudahkan kerja menggali dan menarik tumbuhan tersebut," jelasnya yang mengambil masa selama dua tahun untuk menguasai ilmu mencari akar kayu.

Jelasnya pada musim panas, kerja mengambil akar kayu menjadi sukar berikutan keadaan tanah yang kering dan keras.

Adakalanya dia mencari akar kayu di hutan yang memakan masa selama tiga hari.

Zaman dahulu, akar kayu mudah dicari kerana kawasan hutan masih belum diteroka namun, kini Abdul Jalil perlu ke kawasan hutan lain seperti di Seri Menanti, Kuala Pilah, untuk mencari beberapa jenis akar kayu yang hanya terdapat di situ.

Setiap akar kayu yang baru dikeluarkan dari hutan akan dibasuh terlebih dulu dan dijemur seketika bagi mengeringkan air basuhan tersebut.

Akar kayu akan dipotong mengikut ukuran yang sama. Bagi akar yang bersaiz besar, perlu dibelah menjadi lebih kecil.

Setiap akar kayu yang dipotong ukuran antara 10 hingga 12 sentimeter setiap satu. Setelah itu, setiap akar kayu akan disusun menjadi seruas dan diikat.

Seikat akar kayu mempunyai sekurang-kurangnya tiga hingga tujuh jenis akar.


Abdul Jalil memberitahu, ada sesetengah akar kayu digunakan dalam semua jenis penyakit manakala terdapat akar kayu yang sesuai mengikut jantina.

Bagi akar kayu untuk wanita, selalunya akan disertakan dengan akar pokok pengecut manakala untuk lelaki menggunakan akar kayu tongkat ali.

Akar kayu yang boleh disertakan setiap penyakit dikenali sebagai taji denak atau ibu penawar kepada segala penyakit.

Kaedah mudah untuk mengenali akar kayu ini hanyalah dengan latihan praktikal yang berterusan.

Walaupun bersemangat mengekalkan warisan keluarganya itu, dia turut mengakui bahawa generasi muda hari ini sudah tidak berminat untuk berkecimpung dalam bidang tersebut.

"Dalam dunia yang serba canggih dengan kaedah perubatan moden, perubatan tradisional seperti akar kayu semakin dilupakan khususnya dalam kalangan golongan belia.

" Ada antara mereka yang tidak mengetahui akan kewujudan perubatan daripada akar kayu ini. Setakat ini, saya hanya berkongsi ilmu bersama ahli keluarga terdekat. Sekiranya ada anak muda yang ingin mempelajarinya, saya sedia mengajar mereka," ujarnya.

Walaupun akar kayu sudah kurang dikenali, ia masih mempunyai kelompok pengguna tersendiri iaitu golongan dewasa dan warga emas.

Seorang pengguna akar kayu, Hasnah Mohmad Ali, 56, memberitahu, dia telah mengamalkan minuman akar kayu sejak zaman anak dara sehingga hari ini.

Hasnah mengamalkan pengambilan akar kayu sebagai minuman kesihatan untuk mencegah daripada pelbagai penyakit berkaitan perempuan seperti senggugut dan keputihan.

"Pengambilan air akar kayu merupakan tradisi keluarga saya. Ibu menyarankan saya meminum air akar kayu untuk mengekalkan kesihatan.

"Air akar kayu memberikan kesan yang positif kepada diri saya dan hari ini pun saya tetap mengamalkan meminum air akar kayu untuk melegakan sakit sendi," katanya.

Pantang larang

Dia mengingatkan, pengambilan air akar kayu turut mempunyai pantang larang seperti tidak boleh meminum air kelapa. Ini kerana air kelapa boleh mematikan segala khasiat akar kayu.

Amalan ubatan tradisional merupakan salah satu ikhtiar perubatan dalam usaha untuk mencari penawar bagi sesuatu penyakit.

Ubatan tradisional seperti herba dan akar kayu juga sering menjadi pilihan saintis untuk mengkaji khasiat serta keberkesanan warisan alam ini dalam membantu meningkatkan kesihatan dan menyembuhkan penyakit.

Menurut Profesor Madya Dr. Hawa ZE Jaafar dari Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia berkata, ubatan tradisional merupakan perubatan prasaintifik yang diamalkan oleh sesuatu kaum pada masa dan tujuan tertentu.

"Ubatan seperti akar kayu telah diturunkan dari satu generasi kepada yang lain sehingga menjadi warisan buat masyarakat khususnya di sekitar Nusantara.

"Bahan-bahan yang terkandung dalam perubatan tradisional kebiasaannya berasaskan herba khusus dan melaui dunia perubatan moden, akar kayu merupakan pilihan alternatif yang disarankan mengikut kesesuaian berdasarkan keperluan serta tidak memudaratkan pengguna," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.


unsubscribe from this feed

No comments:

Post a Comment