Pages

Thursday, August 20, 2015

Berhati-hati dalam memilih kawan

Berhati-hati dalam memilih kawan
Aug 21st 2015, 12:21

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang menunjukkan kepada hamba-Nya jalan kebaikan untuk mereka menempuhnya dan jalan kejahatan untuk mereka menghindarinya. Antara jalan itu, Islam menganjurkan supaya kita sentiasa mendampingi orang-orang yang baik dan menjauhi rakan-rakan yang buruk (negatif).

Umum mengetahui, manusia tidak boleh hidup bersendirian dalam keadaan terasing dan jauh daripada manusia lain. Seseorang itu perlu bergaul dan berdamping dengan manusia lain. Kerana itu, pergaulan ini tentu akan ada kesan baik dan buruknya; bergantung kepada jenis manusia yang dia bergaul dengannya.

Berdasarkan hakikat ini, banyak nas al-Quran dan hadis yang menuntut supaya kita mencari rakan taulan yang baik-baik dan menjauhi mereka yang jelik.

Firman ALLAH SWT: “Dan berdampinglah sentiasa bersama orang-orang yang beribadat kepada tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan ALLAH semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup dunia.” (Surah Al-Kahf: 28)

Firman ALLAH lagi:
“Dan apabila engkau melihat orang yang memperkatakan dengan cara mencaci mengejek-ejek ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan perkara yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau beringat.” (Surah Al-An'aam: 68)

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Perumpamaan rakan yang baik dan rakan yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi sama ada dia akan menghadiahkan kepada engkau (minyak wangi), engkau membeli daripadanya atau (paling tidak) engkau memperoleh bauan yang harum daripadanya. Adapun tukang besi, sama ada pakaian engkau terbakar atau (paling tidak) engkau mendapat bau yang busuk daripadanya.” (Riwayat Bukhari Muslim)

Sebagai Muslim, sewajarnya kita jadikan hadis Nabi SAW ini sebagai pedoman: Ketika kita bergaul dengan manusia di pasar raya, majlis-majlis, kawasan tempat tinggal, di sekolah atau di tempat kerja. Dalam mana kesempatan sekalipun kita bergaul dengan manusia, hendaklah kita memilih sahabat, pendamping atau rakan kongsi dalam kalangan mereka yang baik-baik.

Hadis di atas menjelaskan kepada kita, rakan yang baik dalam semua keadaan akan memberi kebaikan kepada kita, keberkatan dan manfaat. Seperti penjual minyak wangi, kita akan memperoleh manfaat daripada apa yang dijualnya. Sama ada dengan hadiah wangian yang diberikan kepada kita atau wangian yang dibeli daripadanya. Atau paling tidak, sepanjang kita berada bersamanya hati dan pandangan mata kita berasa tenang dengan bau wangian yang datang daripadanya.

Rakan yang baik akan mengajak kita kepada kebaikan di samping menegah daripada perkara buruk. Dia akan memperdengarkan kepada kita perkara yang bermanfaat, perkataan yang benar dan kata-kata kebijaksanaan.

Rakan yang baik juga akan memperbetulkan kelemahan kita di samping berusaha memberi ilmu kefahaman kepada kita. Dia akan berusaha memperbaiki keadaan kita. Jika kita lalai alpa dia akan ingatkan. Jika kita berasa lemah dan hampa dia akan memberi semangat dan dorongan.

Rakan yang baik akan memelihara nama baik kita ketika kita tiada atau ketika kita bersama dengannya. Merekalah kaum yang teman duduknya tidak akan berasa rugi. Rahmat ALLAH turun atas mereka dan orang yang bersama mereka akan turut mendapat sama. Paling tidak, dengan duduk bersama orang yang baik secara tidak langsung kita akan dapat selamat daripada melakukan perkara maksiat dan keji.

Hakikatnya, faedah berdamping dengan orang soleh terlalu banyak untuk dihitung dan disenaraikan.

Manfaat berdamping dengan orang soleh terkesan sehingga ke haiwan peliharaan. Sebagaimana yang berlaku kepada anjing yang bersama pemuda Ashabul Kahfi. Keberkatan yang turun kepada pemuda tersebut turut sama dirasai anjing itu di kala mereka tidur selama tempoh masa yang sangat menakjubkan dan akhirnya anjing itu turut sama disebut dan mendapat tempat dalam peristiwa ajaib itu.

Berbeza dengan rakan yang buruk. Mereka adalah racun berbisa yang membawa bala musibah. Mereka mengajak kepada maksiat dan hal kemungkaran dengan membuka pintu kejahatan serta memudahkan jalan maksiat kepada orang yang bergaul dan duduk bersama mereka  

Rakan yang buruk jika kita tidak bersama dengan mereka dalam keburukan yang mereka lakukan, paling tidak kita mendapat bahagian besar dalam merestui perbuatan buruk yang mereka lakukan serta berdiam diri terhadapnya.

Rakan yang buruk adalah seperti tukang besi yang membakar besi dalam relau api yang kotor dan kita duduk hampir dengannya. Pakaian dan badan kita boleh terbakar dan hidung kita akan penuh dengan bau busuk.

Begitulah keadaannya apabila kita duduk bersama dengan orang yang jelik. Majlis mereka dipenuhi dengan mengumpat, adu domba, bohong dusta, sumpah seranah dan kata-kata nista. Ia juga penuh dengan perkara-perkara 'lagha' tiada faedah dan hal-hal yang melalaikan.

Apa pun, bermajlis dengan orang-orang yang jelik akan membawa mudarat daripada segenap segi. Ia bahaya atas orang yang berdamping dengan mereka. Betapa ramainya orang yang binasa gara-gara mereka. Dan betapa mereka membawa pendamping mereka ke lembah kecelakaan sama ada dalam keadaan sedar atau tidak.

Disebutkan bahawa Uqbah bin Abi Mu'it sering berdamping dengan Rasulullah SAW di Makkah. Walaupun tidak memeluk Islam tetapi Uqbah tidak menyakiti Rasulullah SAW. Berbeza dengan kafir Quraisy.

Kawan rapat Uqbah yang kafir dikatakan berada di Syam (Syria) dan sikap Uqbah yang tidak menyakiti Rasulullah SAW menimbulkan prasangka  kalangan orang Quraisy bahawa Uqbah telah memeluk Islam. Maka apabila kawan rapat Uqbah pulang ke Makkah dan sikap Uqbah itu sampai ke pengetahuannya, dia telah memarahi Uqbah dan enggan berbicara dengannya sehingga dia menyakiti Rasulullah SAW.

Akhirnya Uqbah melaksanakan apa yang diminta oleh rakannya itu dan Uqbah pun mula menyakiti Rasulullah SAW. Kesudahan hidupnya, Uqbah terbunuh dalam Peperangan Badar dalam keadaan kafir.

Peristiwa di atas wajar menjadi peringatan buat kita akan betapa kuatnya pengaruh seorang kawan ke atas kita. Hal ini sehingga Nabi bersabda: “Agama seseorang itu adalah seperti agama kawan rapatnya.” (Riwayat Tirmizi, hasan)

Nabi SAW menjelaskan seorang kawan itu boleh mempengaruhi pegangan agama rakannya sehingga menjadi sepertinya. Jika pegangan agama kawan itu baik maka baiklah agama rakannya. Begitu juga jika sebaliknya.

Wajarlah kita berhati-hati dalam memilih rakan taulan. Hendaklah kita berdamping dengan orang soleh yang bertakwa serta bergaul dengan golongan yang istiqamah atas jalan agama. Di samping itu hendaklah kita menjauhkan diri dan anak-anak kita daripada bergaul dengan kawan yang buruk akhlak dan agama. Lebih-lebih lagi pada akhir zaman ini tatkala orang soleh berkurangan dan fitnah ujian berleluasa.


USTAZ IDRIS SULAIMAN
(Ahli Majlis Syura Pertubuhan Ilmuwan Malaysia)


unsubscribe from this feed

No comments:

Post a Comment