akmar@hmetro.com.my
Bermula sebagai kenalan biasa pada 2012, akhirnya menyatukan dua hati sehingga membawa Abby Abady, 38 dan Mohd Faizal Zakaria, 41, ke jenjang pelamin.
Atas keruntuhan rumah tangga yang mereka berdua pernah lalui, kedua-duanya berikrar enggan lagi menoleh ke belakang dan apa yang sudah berlaku hanya kenangan masa silam yang tidak perlu diungkit lagi.
Mereka mula rapat pada Disember tahun lalu dan saling jatuh hati sejak tiga bulan lalu. Untuk segera menghalalkan perhubungan yang terjalin lantas pernikahan mereka berdua disegerakan. Jumaat lalu dengan direstui dan disaksikan kedua-dua keluarga, tepat jam 3.40 petang, Abby dan Faizal selamat diijabkabulkan di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat.
Abby atau nama sebenarnya, Arbaeyah Abdul Manan yang meninggalkan terus dunia lakonan sejak penghijrahannya kelihatan berseri-seri dalam persalinan rona kelabu sedondon dengan Faizal. Dia yang kini menceburi perniagaan susu kambing jenama Umaima kelihatan berisi, namun sifat mesranya kekal seperti dulu.
Katanya, dalam nada ceria dan hati yang berbunga-bunga, dia mohon mereka di luar sana mendoakan kebahagiaannya. Dua keruntuhan rumah tangga yang dilaluinya bersama suami pertama dan kedua iaitu aktor Norman Hakim, 38, dan Muhammad Noor Farhan, 24, akan dijadikan sempadan serta teladan untuk dia membina mahligai cinta semula dengan Faizal yang juga duda anak tiga itu.
"Doakan pernikahan saya kali ini berkekalan sehingga akhir hayat. Ini adalah perkahwinan saya yang ketiga dan semoga ia juga yang terakhir dalam hidup saya.
"Sebagaimana wanita lain, saya juga impikan kebahagiaan, ketenangan dan kesejahteraan dalam perkahwinan. Siapa yang mahu bercerai-berai, namun, saya reda dengan ketentuan daripada Allah. Pun begitu saya amat mensyukuri hidup ini kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya," katanya.
Abby juga sempat bergurau dan berharap selepas ini tiada lagi kad jemputan kahwin daripadanya.
Berkongsi cerita kelebihan dan keistimewaan lelaki yang mesra disapa Jai dalam kalangan rakan-rakannya, kata Abby, dia seikhlas hati menerima lamaran Jai kerana dia penyayang, bertanggungjawab dan dapat menerima tiga cahaya mata daripada perkahwinan pertamanya dan paling menambat hatinya, Jai dapat menerima dirinya seadanya.
"Kalau dia marah atau ada perbuatan saya yang tidak berkenan pada matanya, dia akan pandang saya dan ia sudah cukup untuk membuatkan saya kecut perut," katanya.
Sementara itu, Jai yang bekerja sebagai wartawan dengan sebuah akhbar mengakui dia mengenali Abby pada 2012 dan mereka selalu berjumpa pada program agama yang disertainya.
"Pada Disember tahun lalu, kami jadi kawan rapat dan tiga bulan lalu hubungan kami bertukar serius kerana tertawan dengan sikap Abby yang penyayang.
"Semakin saya mengenalinya, ternyata apa yang orang kata mengenainya tidak betul. Macam-macam tohmahan dilemparkan kepadanya, tetapi dia sebenarnya bukan seperti yang diperkatakan itu. Abby juga dapat menerima anak-anak saya (berusia 9 hingga 15 tahun) seperti anaknya sendiri," katanya.
Sebagai mengeratkan lagi hubungan dan kemesraan mereka, pasangan pengantin baru itu sedia menyambut kehadiran cahaya mata lagi.
"Kami pada bila-bila masa sedia menerima kehadiran ahli keluarga baru sebagai lambang kebahagiaan rumah tangga yang baru dibina ini," katanya.
Buat masa ini mereka belum merancang untuk berbulan madu kerana menurut Abby, sekiranya mereka mahu pergi ke mana-mana anak-anak akan dibawa bersama.
"Tak sampai hati pula kami berdua saja yang pergi berbulan mahu dan meninggalkan anak-anak di rumah. Insya-Allah, kami akan mencari waktu yang sesuai untuk bercuti bersama-sama," katanya.
Pada hari pernikahan itu, Abby menerima mas kahwin sebanyak RM300, senaskhah al-Quran sebagai pengganti wang hantaran dan barangan hantaran antaranya, kasut, beg tangan, pakaian, jam tangan dan wangian.
Majlis pernikahan itu turut dihadiri anak Abby daripada perkahwinan pertamanya dengan pelakon Norman Hakim iaitu Mohammad Danish Hakim, 14, Marissa Damia Hakim, 12, dan Maria Danisha Hakim, 9.
Selepas berpisah dengan Norman, Abby bertemu jodoh buat kali kedua dengan Muhammad Noor Farhan. Bagaimanapun, rumah tangga yang dibina itu juga tidak kekal lama dan mereka bercerai Jun tahun lalu. Majlis resepsi kedua-dua pihak diadakan malam tadi di sebuah lokasi di ibu kota.
Hadir sama, pada hari pernikahan itu dua rakan artis yang juga sahabat baiknya, Azza dan Shasha Saidin. Norman Hakim tidak dapat hadir kerana terikat dengan program lain tetapi dia dan isterinya, Memey Suhaiza meraikan pasangan mempelai itu pada majlis resepsi.

No comments:
Post a Comment